BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mac – Dua wanita Brunei adalah antara penerima Anugerah Wanita Masa Depan Asia Tenggara yang disampaikan pada majlis yang diadakan di Singapura, baru-baru ini.
Najaa Halbi memenangi anugerah kategori pekerjaan atas peranan beliau sebagai Jurutera Petroleum dan Pengurus Perancangan Aset Timur Brunei Shell Petroleum serta pencapaian beliau selama 10 tahun dalam perniagaan petroleum.
Manakala itu, Supna Rania Karwanamurthi memenangi anugerah kategori perusahaan atas peranannya sebagai pengasas bersama dan Pengarah Urusan Flux O.S. Sdn Bhd serta aspirasi beliau untuk menjadi yang terbaik dalam syarikat penggalian dan perkhidmatan di rantau ini.
Majlis penganugerahan yang pertama diadakan ini adalah untuk membina platform bagi mempamerkan pemimpin serantau yang akan menjadi agen perubahan yang membawa kesan.
Selain itu, seorang lagi wanita negara turut menjadi finalis iaitu Dr Noor Affizan binti Rahman selaku konsultan Ophthalmologist di Kementerian Kesihatan.
Program Masa Depan Wanita disokong oleh Kerajaan United Kingdom dan The Countess of Wessex sebagai duta glo-bal.